Tuesday, August 28, 2012

Bangsa Arab punca Muhammad dimusuhi

KISAH mengenai kaum Yahudi, dalam buku Sirah Nabawiah, yang diterjemahkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) jelas membuktikan bahawa kaum itu tidak boleh diharapkan. Mereka memandang Islam dengan pandangan yang penuh kebencian dan dendam kesumat. Tidak menghairankan sehingga ke hari ini mereka tetap begitu. Ini kerana nabi terakhir yang mereka tunggu-tunggu selama ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Taurat mahupun Injil bukan daripada kalangan bangsa Yahudi tetapi berbangsa Arab.

Ini menyebabkan Yahudi tidak dapat menerima hakikat bahawa tiada lagi nabi dari kalangan mereka. Malah, kali ini terpaksa pula 'tunduk' kepada orang Arab. Penulis buku itu, Al Mubarakfuri berkata, sebab itu sukar untuk mententeramkan fahaman kebangsaan yang terlalu menebal dan menguasai jiwa dan akal fikiran mereka. "Sedangkan dakwah Islam pula ialah dakwah yang bertujuan menyatukan hati-hati yang tidak sehaluan serta memadamkan api permusuhan dan benci membenci antara satu sama lain.

"Dakwah Islam juga mengajak kita supaya bersikap amanah dalam segenap urusan, memakan sumber yang halal dan harta yang baik-baik sahaja," katanya. Ini bererti kabilah-kabilah Yahudi di Yathrib juga akan disatukan di bawah prinsip-prinsip itu. Jika itu berjaya dilakukan pastinya penduduk Yathrib akan terlepas juga akhirnya dari cengkaman Yahudi apabila kaum itu tidak lagi boleh menguasai perniagaan yang tidak adil dan amanah. Mereka akan dihalang memiliki harta secara keuntungan besar daripada riba yang selama ini menjadi sumber utama mereka memperolehi kekayaan. Malah ada kemungkinan kabilah-kabilah Arab yang lain akan mulai sedar lalu meminta supaya dipulangkan semula harta-harta yang diambil oleh orang Yahudi secara riba itu. Iaitu seperti tanah dan kebun-kebun yang sebelum ini telah jatuh ke tangan bangsa tersebut.

Namun bangsa Yahudi di awal kehadiran Nabi Muhammad di Yathrib dikatakan telah mengambil kira kesemua perkara tersebut sejak mereka dapati Islam mula mendapat kedudukan yang stabil di Yathrib.

Oleh itu, mereka telah menyembunyikan permusuhan ketat mereka terhadap Islam dan Nabi Muhammad sejak baginda mula sampai di Yathrib. Namun mereka tidak menzahirkan atau menampakkan penentangan tersebut kecuali selepas baginda dan umat Islam semakin bertapak kukuh di Yathrib sehingga dalam banyak peristiwa Yahudi sendiri sanggup menjadi musuh dalam selimut atau duri dalam daging. Mereka menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Islam yang sebenar, iaitu kafir Musyrikin Mekah.

Sumber : Arkib Utusan

Kenikmatan menjadi orang Tuhan

PERINTAH menunaikan solat adalah ketetapan daripada Allah. Ia bukannya datang daripada ciptaan atau direka-reka oleh manusia. Sebenarnya jika kita benar-benar fahami dan amati solat itu cukup hebat.

Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya.

Maka di situ cukup terasa kesempurnaan Allah.

Kita boleh minta apa sahaja daripada Allah dan Dia pasti memenuhi permintaan hamba-Nya. Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.

Dalam solat ada ubat, pil, tonik dan vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.

Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:

1. Rajin - Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas
Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat. Ia mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Di dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita akui Allah Maha Suci, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar.

Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.

Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak.

Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.

Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.

Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh sifat kemalasan.

Orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

2. Berjiwa besar
Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertakwa itu, Allah kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya pelbagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apa janji Allah kepada orang mukmin, orang bertakwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya keselamatan, kewangan, kehidupan, kepandaian dan kemenangan.

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Allah boleh arah mereka bertindak.

Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.

Orang melihat gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.

Tetapi dengan melihat orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.

Dia tidak boleh tengok orang susah. Apabila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya.

Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.

Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.

Sumber: Harian Metro

Subjek Sejarah Berat, Serius

DIBANDINGKAN keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi.
Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi.

Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting.

Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta
sejarah hingga menimbulkan polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.
Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar keperluan material.

Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu.

Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda.

“Fenomena ini menyebabkan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri.

“Mereka membuat penafsiran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar
dengan pendekatan seperti itu,” katanya.

Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti generasi terdahulu.

Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti.

Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama.

“Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya.

“Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah.

“Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu.

“Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya.

Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber.

“Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran.

“Malangnya, apa dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap.

“Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.

Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan.

“Malah, guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik.

“Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan
generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya.

Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.

Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah.

“Sejarah selalunya dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda.

“Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang.

“Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya.

Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah.

“Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan.

“Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.

Sumber : Harian Metro


Ibu bapa Jadi Sahabat Terbaik


APABILA menginjak usia remaja, beralih daripada dunia kanak-kanak, sedar atau tidak anak-anak sebenarnya harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang mereka alami. Mereka bukan saja berubah secara fizikal, tetapi lebih besar lagi ialah secara mental.

Mental mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran baru dan keadaan yang berubah menjadi serius. Kita selalu meletakkan tahap membezakan golongan kanak-kanak dan remaja dengan mengkategorikan mereka sebagai ‘budak sekolah rendah’ atau ‘budak sekolah menengah’. 

Perkataan ‘budak’ digunakan kerana kanak-kanak dan remaja masih diandaikan sebagai terlalu muda atau ‘masih budak-budak’. Selalunya ibu bapa dan masyarakat amnya terlepas pandang bahawa perubahan yang dilalui anak mereka dalam menyesuaikan diri daripada fasa kanak-kanak dan remaja bukan perkara kecil. Ini kerana, ia terlalu dekat dan tidak begitu ketara. Apa yang kelihatan pada pandangan mungkin dari segi tubuh badan saja. Dulu rendah sekarang tinggi. Dulu bersuara halus sekarang semakin garau. Remaja yang mengisi kedewasaan tetap juga dianggap ‘budak-budak’.

Apabila ibu bapa sendiri sukar menerima atau menganggap kecil tahap perubahan yang dilalui remaja, mungkin ini antara sebab ramai remaja memberontak dan mengatakan diri mereka tidak difahami. Mereka kononnya tidak dilayan sewajarnya dan dianggap tidak boleh membuat keputusan. Setiap keputusan masih dibuat ibu bapa, maka remaja mula memendam rasa dan berahsia.


Pegawai Psikologi, Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohammad Afizul Mohammad berkata, istilah ‘remaja’ adalah perubahan zaman anak-anak ke zaman yang berlainan.

“Jika dulu sebagai kanak-kanak dia dibelai, dikasihi, mendapat kasih sayang dan dijaga ibu bapa, namun zaman remaja adalah zaman untuk mereka mula mencuba membelai dan memberi kasih sayang kepada orang lain pula. Mereka mula berubah dan mahu menjaga orang lain. Zaman remaja sebenarnya unik kerana ia adalah pertengahan antara jiwa kanak-kanak dan dewasa,” katanya.

Dalam proses perubahan dan pembesaran itu, memang remaja mula inginkan kebebasan dan ingin membuat keputusan sendiri tanpa membabitkan ibu bapa.

“Malah, ramai remaja yang rasa malu untuk ‘rapat’ dengan ibu bapa kerana takut diejek dan sindiran kawan-kawan bahawa ‘rapat’ dengan ibu bapa adalah ‘anak emak’ atau ‘anak manja’.

“Ibu bapa yang baik dan prihatin pasti serba tahu permasalahan anak-anak mereka. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa supaya mendekati anak-anak secara ‘bijak’ untuk membantu atau mengajar anak-anak erti kehidupan sebenar. Ajaran, didikan dan cara ibu bapa merapatkan hubungan dengan anak-anak adalah faktor utama sejauh mana akrabnya hubungan anak dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa sudah akrab dengan anak-anak sejak awal, pasti anak akan kurang berahsia malah selesa menjadikan ibu bapa sebagai ‘kawan’ mereka. Biasanya ibu bapa yang terlalu risau akan menambahkan lagi jurang hubungan mereka dengan anak-anak.

Apakah yang harus dilakukan ibu bapa supaya anak-anak tidak menjauhkan diri dengan mereka di samping tidak lemas dengan kongkongan?

“Ibu bapa harus meletakkan diri mereka di tahap pemikiran anak-anak. Kita semua pernah alami zaman remaja dan kanak-kanak. Mungkin zaman kita dengan mereka sudah berubah, tetapi dari segi emosi dan kemahuan, ia tidak lari jauh. Jika dulu, kita mahu difahami, remaja zaman Internet juga sama. Jadi sangat penting ibu bapa terus mengekalkan hubungan dengan anak-anak supaya ini tidak menjadikan mereka menjauhkan diri,” katanya.

Dia menegaskan ibu bapa harus menjadi sahabat terbaik anak-anak mereka sendiri. Ini akan membuatkan anak-anak meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada ibu bapa.

“Memang nampak sukar, tetapi percayalah banyak kebaikannya. Pengalaman
saya melakukan sesi kaunseling kelompok dengan remaja mendapati kemahiran utama yang banyak dilupakan ibu bapa adalah kemahiran mendengar.

“Kuasa untuk mengawal anak-anak adalah dengan adanya kemahiran bersama anak-anak dan paling penting, kemahiran melayan. Bayangkan jika anak-anak terkongkong dan tertekan, pasti jiwanya memberontak,” katanya.

Berdasarkan kes dikendalikannya, dia melihat majoriti remaja ada keinginan untuk lari dari rumah kerana rasa terkongkong dan tertekan di rumah. Alasan mereka, ibu bapa tidak memahami dan tidak mahu mendengar masalah anak-anak.

“Anak-anak lelaki lebih suka mendekatkan diri dengan kawan-kawan dan mudah rasa malu untuk mendekatkan diri dengan ibu bapa. Sebaliknya anak-anak perempuan lebih suka dekat dengan ibu jika ibunya bersifat feminin. Daripada pengalaman saya mengendalikan kes kaunseling, anak perempuan lebih selesa dengan bapa jika ibunya lebih kasar dan kurang mengambil berat terhadap anaknya. Remaja perempuan biasanya suka bercerita kepada ibu bapa dan kawan-kawan, tetapi remaja lelaki suka memendam perasaan terutama dengan ibu bapa dan lebih selesa bersama kawan-kawan,” katanya.

Apabila remaja terlalu mempercayai rakan-rakan, mereka sering tersilap langkah. Bagaimana ibu bapa boleh mengelakkan perkara ini secara halus?

“Membebel adalah sesuatu yang tidak disukai semua orang terutama remaja. Ibu bapa perlu tahu keadaan yang sesuai untuk ‘membebel’ secara halus dan berkesan. Ramai ibu bapa yang tersalah langkah mendidik anak-anak dengan membebel sepanjang masa mengakibatkan remaja makin jauh daripada ibu bapa.

“Niat ibu bapa membebel sebenarnya baik untuk kebaikan anak-anak, namun pada anak-anak ia sesuatu yang menjengkelkan kerana ibarat perlu mendengar semua arahan ibu bapa. Ini menambahkan lagi rasa terkongkong. Daripada membebel, gunakan pendekatan berbincang dan bukan memberi arahan, kurangkan membebel sebaliknya dengar penjelasan mereka bersama sentuhan kasih sayang,” katanya.

Dunia yang semakin pesat membangun memang terlalu banyak memberi keburukan kepada remaja. Ibu bapa perlu peka terhadap persekitaran sekarang.

“Sikap remaja yang dianggap berisiko sekarang ialah pergaulan sesama jantina.
Ibu bapa perlu memerhatikan pergaulan dengan meletakkan had tertentu. Contohnya, ibu bapa perlu memahami persekitaran dan tahu sebab anak-anak ingin tidur di rumah rakan atau jiran. Jika ada sikap anak-anak yang suka bersendirian, pastikan ia tidak berpanjangan, rujuk kaunselor berdaftar atau ahli psikiatri jika berpanjangan,” katanya.

Taksub kepada laman sosial atau Internet juga memberi kesan yang sangat negatif sekiranya tidak dipantau. Ibu bapa boleh memastikan komputer atau laptop berada di tempat yang boleh dilihat bagi mengelakkan hubungan yang tidak sihat dengan rakan Internet atau laman web yang tidak senonoh.

“Perbezaan dalam memberi kebebasan kepada remaja lelaki dan perempuan oleh ibu bapa juga perlu kerana dari perspektif psikologi, perkembangan remaja mengikut jantina juga berbeza. Contohnya, remaja perempuan cepat berubah dari sudut fizikal dan mereka juga cepat mahu bercinta kerana ingin mendapatkan perhatian lebih daripada orang lain. Remaja lelaki pula berubah bentuk badan menjadi lebih tegap serta suara yang lebih garau. Kebebasan setiap anak mengikut jantina perlu dibezakan mengikut tahap perkembangan mereka.

“Malah, jika dilihat dari segi keselamatan, remaja perempuan lebih berisiko kerana terdedah kepada masalah sosial seperti seks bebas atau isu rogol. Sebaliknya remaja lelaki hanya berisiko masalah sosial seperti merempit, penyalahgunaan bahan larangan, mencuri dan seumpamanya,” katanya.

Mengenai remaja mencari duit sendiri dengan bekerja sambilan walaupun masih bersekolah, menurutnya, bergantung kepada keadaan kerana ibu bapa lebih memahami perangai anak-anak mereka. Jika peluang untuk bekerja sambilan digunakan sebaik mungkin, ia memberi kelebihan dari aspek penambahbaikan kemahiran serta pengalaman bekerja di dunia sebenar.

“Namun, jika peluang yang diberikan akan menambahkan lagi gejala tidak sihat, ia harus dipantau dan jangan digalakkan. Paling penting, adakah bekerja sambilan itu mengganggu pelajarannya?”

Afizul berpendapat, seeloknya biarlah bekerja digalakkan sebaik habis belajar supaya fokus zaman persekolahan tidak terganggu. Remaja bersekolah, kemudian bekerja pula, ini mungkin membuatkan mereka semakin jauh daripada ibu bapa.
Berikut tip berguna untuk ibu bapa:


  • Amalkan komunikasi berkesan dengan anak-anak. Penting sikap bertanya khabar dan berinteraksi dengan anak-anak setiap hari dengan senyuman yang ikhlas tanpa rasa terpaksa. Pastikan juga ada unsur pujian.
  • Sentuhan kasih sayang. Sentiasa ada sentuhan antara ibu bapa dan anak-anak
    seperti pelukan, ciuman di pipi atau tangan serta gosokkan tangan anak-anak secara mesra.
  • Menjadi pendengar yang baik. Ibu bapa harus bijak mendengar dan bertanya pendapat anak-anak. Bukannya mendengar dan terus memberi arahan.
  • Jangan berpuas hati dengan apa yang ada sebaliknya sentiasa menambah ilmu keibubapaan.
  • Kemantapan rohani. Amalkan gaya hidup yang berlandaskan agama dari awal kanak-kanak, remaja, dewasa dan selamanya. Jiwa yang sihat adalah jiwa yang sentiasa mengaitkan hidupnya dengan Allah S.W.T

    Sumber: Harian Metro
  • Monday, August 6, 2012

    KISAH IBLIS BERTEMU DENGAN RASULULLAH S.A.W

    Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW di kediaman seorang sahabat Anshar, tiba - tiba terdengar panggilan seseorang dari luar rumah:

    ... "Wahai penghuni rumah, bolehkah aku masuk? Sebab kalian akan memerlukanku. "

    Rasulullah bersabda : "Tahukah kalian siapa yang memanggil?"

    Kami menjawab : "Allah dan rasulNya yang lebih tahu."

    Beliau melanjutkan, "Itu iblis, laknat Allah bersamanya."

    Umar bin Khattab berkata: "Izinkan aku membunuhnya wahai Rasulullah"
    Nabi menahannya :" Sabar wahai Umar, bukankah kamu tahu bahwa Allah memberinya kesempatan hingga hari kiamat? Lebih baik bukakan pintu untuknya, sebab dia telah diperintahkan untuk ini, fahamilah apa yang hendak ia katakan dan dengarkan dengan baik."

    Ibnu Abbas RA berkata: Pintu lalu dibuka, ternyata dia seperti seorang tua yang cacat satu matanya. Di janggutnya terdapat 7 helai rambut seperti rambut kuda, taringnya terlihat seperti taring babi, bibirnya seperti bibir sapi..

    Iblis berkata: "Salam untukmu Muhammad.... Salam untukmu para hadirin..."

    Rasulullah SAW lalu menjawab : "Salam hanya milik Allah SWT, sebagai mahluk terlaknat, apa keperluanmu? "

    Iblis menjawab : "Wahai Muhammad, aku datang ke sini bukan atas kemahuanku, namun kerana terpaksa."
    "Siapa yang memaksamu? "

    "Seorang malaikat utusan Allah mendatangiku dan berkata:

    "Allah SWT memerintahkanmu untuk mendatangi Muhammad sambil menundukkan diri. Beritahu Muhammad tentang caramu dalam menggoda manusia. Jawablah dengan jujur semua pertanyaannya. Demi kebesaran Allah, andai kau berdusta satu kali saja, maka Allah akan jadikan dirimu debu yang ditiup angin."

    "Oleh kerana itu aku sekarang mendatangimu. Tanyalah apa yang hendak kau tanyakan. Jika aku berdusta, aku akan dicaci oleh setiap musuhku. Tidak ada sesuatu pun yang paling besar menimpaku daripada cacian musuh."

    ORANG YANG DIBENCI IBLIS

    Rasulullah SAW lalu bertanya kepada Iblis: "Kalau kau benar jujur, siapakah manusia yang paling kau benci?"

    Iblis segera menjawab: " Kamu, kamu dan orang sepertimu adalah mahkluk Allah yang paling aku benci."

    "Siapa selanjutnya? "

    "Pemuda yang bertakwa yang memberikan dirinya mengabdi kepada Allah SWT."

    "Lalu siapa lagi?"

    "Orang Alim dan wara'"

    " Lalu siapa lagi?"

    "Orang yang selalu bersuci."

    "Siapa lagi?"
    "Seorang fakir yang sabar dan tak pernah mengeluhkan kesulitannnya kepada orang lain."

    "Apa tanda kesabarannya? "

    " Wahai Muhammad, jika ia tidak mengeluhkan kesulitannya kepada orang lain selama 3 hari, Allah akan memberi pahala orang - orang yang sabar."

    "Selanjutnya apa?"

    "Orang kaya yang bersyukur."

    "Apa tanda kesyukurannya ?"

    "Ia mengambil kekayaannya dari tempatnya, dan mengeluarkannya juga dari tempatnya ."

    "Orang seperti apa Abu Bakar menurutmu?"
    "Ia tidak pernah menurutiku di masa jahiliyah, apalagi dalam Islam."

    "Umar bin Khattab?"

    "Demi Allah setiap berjumpa dengannya aku pasti kabur. "

    "Usman bin Affan?"

    "Aku malu kepada orang yang malaikat pun malu kepadanya ."

    "Ali bin Abi Thalib?"

    " Aku berharap darinya agar kepalaku selamat, dan berharap ia melepaskanku dan aku melepaskannya. Tetapi ia tak akan mahu melakukan itu." (Ali bin Abi Thalib selau berdzikir terhadap Allah SWT)
    AMALAN YANG DAPAT MENYAKITI HATI IBLIS

    "Apa yang kau rasakan jika melihat seseorang dari umatku yang hendak solat?"

    "Aku merasa panas dingin dan gementar. "

    "Kenapa?"

    "Sebab, setiap seorang hamba bersujud 1x kepada Allah, Allah mengangkatnya 1 darjat."

    "Jika seorang umatku berpuasa?"

    "Tubuhku terasa terikat hingga ia berbuka ."

    "Jika ia berhaji?"

    "Aku seperti orang gila. "

    "Jika ia membaca al-Quran?"

    "Aku merasa meleleh laksana timah di atas api."

    "Jika ia bersedekah?"

    "Itu sama saja orang tersebut membelah tubuhku dengan gergaji."

    "Mengapa jadi begitu? "

    "Sebab dalam sedekah ada 4 keuntungan baginya... Iaitu keberkahan dalam hartanya, hidupnya disukai, sedekah itu kelak akan menjadi hijab antara dirinya dengan api neraka dan segala macam musibah akan terhalau dari dirinya."

    "Apa yang dapat mematahkan pinggangmu?"

    "Suara kuda perang di jalan Allah."

    "Apa yang dapat melelehkan tubuhmu?"

    "Taubat orang yang bertaubat."

    "Apa yang dapat membakar hatimu?"

    "Istighfar di waktu siang dan malam."

    "Apa yang dapat mencoreng wajahmu?"
    "Sedekah yang diam - diam. "

    "Apa yang dapat menusuk matamu?"

    "Solat fajar(subuh)."

    "Apa yang dapat memukul kepalamu? "

    "Solat berjamaah."

    "Apa yang paling mengganggumu? "

    "Majlis para ulama."

    "Bagaimana cara makanmu?"

    "Dengan tangan kiri dan jariku."

    "Dimanakah kau menaungi anak - anakmu di musim panas?"

    "Di bawah kuku manusia."

    MANUSIA YANG MENJADI TEMAN IBLIS

    Nabi lalu bertanya : "Siapa temanmu wahai Iblis?"

    "Pemakan riba."

    "Siapa sahabatmu?"

    "Penzina."

    "Siapa teman tidurmu?"

    "Pemabuk.."

    "Siapa tetamumu? "

    "Pencuri."

    "Siapa utusanmu?"

    "Tukang sihir."

    "Apa yang membuatmu gembira?"
    "Bersumpah dengan cerai."

    "Siapa kekasihmu? "

    "Orang yang meninggalkan solat jumaat"

    "Siapa manusia yang paling membahagiakanmu? "

    "Orang yang meninggalkan solatnya dengan sengaja."

    Iblis Tidak Berdaya Di hadapan Orang Yang Ikhlas

    Rasulullah SAW lalu bersabda : "Segala puji bagi Allah yang telah membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu. "

    Iblis segera menimpali :" Tidak , tidak.. Tak akan ada kebahagiaan selama aku hidup hingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia dengan umatmu, sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tak boleh melihatku.
    Demi yang menciptakan diriku dan memberikan ku kesempatan hingga hari akhir, aku akan menyesatkan mereka semua. Baik yang bodoh, atau yang pintar, yang boleh membaca dan tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh, kecuali hamba Allah yang ikhlas."

    "Siapa orang yang ikhlas menurutmu ?"

    "Tidakkah kau tahu wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas. Jika kau lihat seseorang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya. Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh padaku."

    IBLIS DIBANTU OLEH 70000 ANAK-ANAKNYA

    Tahukah kamu Muhammad, bahawa aku mempunyai 70000 anak.. Dan setiap anak memiliki 70000 syaitan.

    Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian untuk menggangu anak - anak muda, sebahagian untuk menganggu orang - orang tua, sebahagian untuk menggangu wanita - wanita tua, sebahagian anak -anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.

    Aku punya anak yang suka mengencingi telinga manusia sehingga ia tidur pada solat berjamaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat berjamaah.

    Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata orang yang sedang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan pahalanya terhapus.

    Aku punya anak yang senang berada di lidah manusia, jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia khabarkan kepada manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.

    Pada setiap seorang wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya, lalu menghiasinya agar setiap orang memandanginya.

    Syaitan juga berkata, "Keluarkan tanganmu", lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan pun menghiasi kukunya.

    Mereka, anak - anakku selalu meyusup dan berubah dari satu tempat ke tempat lainnya, dari satu pintu ke pintu yang lainnya untuk menggoda manusia hingga mereka terhempas dari keikhlasan mereka.

    Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.
    Tahukah kamu, Muhammad? Bahawa ada rahib yang telah beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh seketika. Aku terus menggodanya hingga ia berzina, membunuh dan kufur.

    Cara Iblis Menggoda

    Tahukah kau Muhammad, dusta berasal dari diriku?

    Akulah makhluk pertama yang berdusta.

    Pendusta adalah sahabatku. Barangsiapa bersumpah dengan berdusta, ia kekasihku.

    Tahukah kau Muhammad?

    Aku bersumpah kepada Adam dan Hawa dengan nama Allah bahawa aku benar-benar menasihatinya.

    Sumpah dusta adalah kegemaranku.
    Ghibah (gosip) dan Namimah (adu domba) kesenanganku.

    Kesaksian palsu kegembiraanku.

    Orang yang bersumpah untuk menceraikan isterinya ia berada di pinggir dosa walau hanya sekali dan walaupun ia benar. Sebab barang siapa membiasakan dengan kata - kata cerai, isterinya menjadi haram baginya. Kemudian ia akan beranak cucu hingga hari kiamat. Jadi semua anak - anak zina dan ia masuk neraka hanya kerana satu kalimat, CERAI.

    Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka lalai semasa solat. Setiap ia hendak berdiri untuk solat, aku bisikan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk, lalu ia manundanya hingga ia melaksanakan solat di luar waktu, maka solat itu dipukulkannya kemukanya.

    Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya 'lihat kiri dan kananmu',
    Dia pun menoleh. Pada masa itu aku usap dengan tanganku dan kucium keningnya serta aku katakan 'solatmu tidak sah'.

    Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.

    Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Dia pun solat seperti ayam yang mematuk beras.

    Jika dia berhasil mengalahkanku dan dia solat berjamaah, aku ikat lehernya dengan tali, hingga dia mengangkat kepalanya sebelum imam, atau meletakkannya sebelum imam.

    Kamu tahu bahawa melakukan itu batal shalatnya dan wajahnya akan dirubah menjadi wajah keldai.

    Jika dia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya hingga dia menguap dalam solat. Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan masuk ke dalam dirinya, dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan gila dunia.
    Dan diapun semakin taat padaku.

    Kebahagiaan apa untukmu, sedang aku memerintahkan orang miskin agar meninggalkan solat. Aku katakan padanya, 'kamu tidak wajib solat, solat hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat. Orang sakit dan miskin tidak, jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.'

    Dia pun mati dalam kekafiran. Jika dia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.

    Wahai Muhammad, jika aku berdusta Allah akan menjadikanku debu.
    Wahai Muhammad, apakah kau akan bergembira dengan umatmu padahal aku mengeluarkan seperenam mereka dari islam?


    10 PERMINTAAN IBLIS KEPADA ALLAH

    "Berapa yang kau pinta dari Tuhanmu?"

    "10 macam"
    "Apa saja?"

    Aku minta agar Allah membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Allah mengizinkan.

    Allah berfirman, "Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak. Dan janjikanlah mereka, tidaklah janji syaitan kecuali tipuan." (QS Al-Isra :64)

    Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba, aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah.

    Aku minta agar Allah membiarkanku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan isterinya tanpa berlindung dengan Allah, maka syaitan ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.

    Aku minta agar boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.

    Aku minta agar Allah menjadikan bilik mandi sebagai rumahku.

    Aku minta agar Allah menjadikan pasar sebagai masjidku.

    Aku minta agar Allah menjadikan syair sebagai Quranku.

    Aku minta agar Allah menjadikan pemabuk sebagai teman tidurku.

    Aku minta agar Allah memberikanku saudara , maka Ia jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku.

    Allah berfirman, "Orang - orang boros adalah saudara - saudara syaitan. " (QS Al-Isra : 27)

    Wahai Muhammad, aku minta agar Allah membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.

    Dan aku minta agar Allah memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia.
    Allah menjawab, "Silakan", aku bangga dengan hal itu hingga hari kiamat. Sebahagian besar manusia bersamaku di hari kiamat.

    Iblis berkata : "Wahai muhammad, aku tak bolej menyesatkan orang sedikitpun, aku hanya boleh membisikan dan menggoda."

    Jika aku boleh menyesatkan, tak akan tersisa seorangpun.

    Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikitpun, engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah.

    Jika kau boleh memberi hidayah, tak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini.

    Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.

    Orang yang bahagia adalah orang yang telah ditulis bahagia sejak di perut ibunya. dan orang yang sengsara adalah orang yang telah ditulis sengsara semenjak dalam kandungan ibunya.
    Rasulullah SAW lalu membaca ayat : "Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang dirahmati oleh Allah SWT " (QS Hud :118 - 119)

    Juga membaca, " Sesungguhnya ketentuan Allah pasti berlaku" (QS Al-Ahzab : 38)

    Iblis lalu berkata : " Wahai Rasul Allah takdir telah ditentukan dan pena takdir telah kering. Maha Suci Allah yang menjadikanmu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk surga, dan yang telah menjadikan aku pemimpin makhluk-makhluk celaka dan pemimpin penduduk neraka. aku si celaka yang terusir, ini akhir yang ingin aku sampaikan kepadamu. Dan aku tak berbohong."