Thursday, September 30, 2010

Bangsa Arab punca Muhammad dimusuhi

KISAH mengenai kaum Yahudi, dalam buku Sirah Nabawiah, yang diterjemahkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) jelas membuktikan bahawa kaum itu tidak boleh diharapkan. Mereka memandang Islam dengan pandangan yang penuh kebencian dan dendam kesumat. Tidak menghairankan sehingga ke hari ini mereka tetap begitu. Ini kerana nabi terakhir yang mereka tunggu-tunggu selama ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Taurat mahupun Injil bukan daripada kalangan bangsa Yahudi tetapi berbangsa Arab.
Ini menyebabkan Yahudi tidak dapat menerima hakikat bahawa tiada lagi nabi dari kalangan mereka. Malah, kali ini terpaksa pula 'tunduk' kepada orang Arab. Penulis buku itu, Al Mubarakfuri berkata, sebab itu sukar untuk mententeramkan fahaman kebangsaan yang terlalu menebal dan menguasai jiwa dan akal fikiran mereka. "Sedangkan dakwah Islam pula ialah dakwah yang bertujuan menyatukan hati-hati yang tidak sehaluan serta memadamkan api permusuhan dan benci membenci antara satu sama lain.
"Dakwah Islam juga mengajak kita supaya bersikap amanah dalam segenap urusan, memakan sumber yang halal dan harta yang baik-baik sahaja," katanya. Ini bererti kabilah-kabilah Yahudi di Yathrib juga akan disatukan di bawah prinsip-prinsip itu. Jika itu berjaya dilakukan pastinya penduduk Yathrib akan terlepas juga akhirnya dari cengkaman Yahudi apabila kaum itu tidak lagi boleh menguasai perniagaan yang tidak adil dan amanah. Mereka akan dihalang memiliki harta secara keuntungan besar daripada riba yang selama ini menjadi sumber utama mereka memperolehi kekayaan. Malah ada kemungkinan kabilah-kabilah Arab yang lain akan mulai sedar lalu meminta supaya dipulangkan semula harta-harta yang diambil oleh orang Yahudi secara riba itu. Iaitu seperti tanah dan kebun-kebun yang sebelum ini telah jatuh ke tangan bangsa tersebut.
Namun bangsa Yahudi di awal kehadiran Nabi Muhammad di Yathrib dikatakan telah mengambil kira kesemua perkara tersebut sejak mereka dapati Islam mula mendapat kedudukan yang stabil di Yathrib.
Oleh itu, mereka telah menyembunyikan permusuhan ketat mereka terhadap Islam dan Nabi Muhammad sejak baginda mula sampai di Yathrib. Namun mereka tidak menzahirkan atau menampakkan penentangan tersebut kecuali selepas baginda dan umat Islam semakin bertapak kukuh di Yathrib sehingga dalam banyak peristiwa Yahudi sendiri sanggup menjadi musuh dalam selimut atau duri dalam daging. Mereka menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Islam yang sebenar, iaitu kafir Musyrikin Mekah.

Sumber : Arkib Utusan

Yahudi degil dan bermuka-muka

CONTOH fenomena kedegilan dan permusuhan bangsa Yahudi sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq ialah seperti mana yang ditegaskan oleh Yasir bi Akhtab seperti mana diceritakan oleh anak saudara kesayangannya, Safiyyah yang merupakan anak salah seorang pembesar Yahudi, Huyayy binti Akhtab.

Safiyyah berkata: "Setiap kali mereka melihat aku, pasti mereka memegang dan memelukku. Sehinggalah pada suatu hari, mereka hadir dalam satu majlis pertemuan dengan Nabi Muhammad. Iaitu dari pagi sehinggalah lewat petang barulah mereka pulang ke rumah dengan rupa wajah yang bingung dan sedih.

"Mereka langsung tidak menyapa saya berbeza dengan kelaziman yang mereka lakukan setiap kali apabila bertemu dengan saya.

"Ketika itulah saya mendengar mereka berkata sesuatu yang agak memeranjatkan juga," kata Safiyyah.

Huyyay bertanyakan kepada Yasir: "Betulkah dia orangnya? Yang sering disebut-sebut oleh para pendita dan kitab-kitab kita sebelum ini?"

"Demi Allah, dialah orangnya," kata Yasir.

"Adakah kamu benar-benar kenal dan meyakini dengan apa yang kamu percayai itu," tanya Huyyay lagi.

"Benar, kerana tanda-tanda dan alamat kenabian itu ada padanya. Memang benarlah dialah orangnya, tidak syak lagi," kata Yasir.

"Jika begitu apa yang bermain dalam fikiran mu sekarang ini dan apa yang hendak kita lakukan," kata Huyyay.

"Demi Allah, selagi hayatku masih dikandung badan, aku berazam akan memusuhi Muhammad untuk selama-lamanya," kata Yasir tegas.

Begitulah sikap Yahudi, yang sanggup bermuka-muka di hadapan baginda tetapi apabila pulang ke rumah, mereka menunjukkan belang yang sebenar.

Namun Yahudi tetap menjadi penduduk bukan Islam di Madinah yang perlu dihadapi oleh Nabi Muhammad.

Baginda mengetahui segala isi perut mereka yang sebenarnya berpura-pura itu. Lalu dengan segera satu perjanjian perlu dibuat dengan bangsa Yahudi, iaitu sebelum bangsa itu menzahirkan penentangan mereka terhadap Islam.

Perjanjian dengan kaum Yahudi itu yang secara imbas memberikan kepada mereka kebebasan mutlak dalam soal agama dan harta benda.

Ini kerana baginda tidak mengambil polisi pengusiran dan permusuhan terhadap bangsa itu. Tetapi satu perjanjian yang langsung tidak memberi jalan bagi membolehkan bangsa itu melakukan penentangan terhadap baginda dan Islam.

Lalu diadakan perjanjian dengan kaum Yahudi yang mendiami Yathrib, yang antara butir-butirnya adalah seperti berikut;

l Bangsa dan kaum Yahudi adalah satu umat bersama dengan kaum Mukmin lain terutama yang mendiami Madinah. Lalu masing-masing berhak mengamalkan agama mereka termasuklah pengikut-pengikut dan diri mereka.

l Kaum Yahudi dan umat Islam berkewajipan membiayai sendiri nafkah hidup masing-masing.

l Antara mereka hendaklah saling tolong menolong terutama memerangi mereka yang menentang piagam ini.

l Kedua-dua kaum ini hendaklah juga saling nasihat menasihati, berbuat kebaikan dan tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh memudarat diri dan orang lain.

l Masing-masing juga tidak dibenarkan sama sekali untuk membuat kesalahan terhadap orang lain tanpa sebarang alasan yang munasabah.

l Pertolongan hendaklah diberikan kepada mereka yang dizalimi tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

l Dalam keadaan suasana peperangan kaum Yahudi dan kaum Mukmin hendaklah sama-sama saling membiayai.

l Dengan piagam ini, Yathrib menjadi tanah yang dihormati.

l Sebarang masalah atau pertikaian yang dibimbangi membawa kerosakan di kalangan mereka yang memeterai piagam ini hendaklah dirujuk kepada Allah dan Nabi Muhammad sendiri.

l Kaum Musyrikin Mekah tidak boleh dilindungi dan begitu juga mereka yang menjadi tali barut kepada kaum Musyrik Mekah itu.

l Mereka yang terlibat dengan piagam ini hendaklah tolong menolong menentang mereka yang cuba menghancurkan Yathrib.

l Perjanjian ini tidak boleh dilanggar melain mereka yang zalim atau berdosa!

Dengan termeterainya perjanjian ini, maka kaum Yahudi tertakluk kepada segala isi kandungannya. Ternyata ia merupakan satu perjanjian yang memberikan keadilan kepada semua pihak dan tersembunyi seribu satu hikmah yang secara bijak direncanakan sendiri oleh Nabi Muhammad.

Sumber : Arkib Utusan

Wednesday, September 22, 2010

Sahabat Nabi : Abdullah Mas'ud

NAMA sebenar beliau ialah Abdullah bin Mas‘ud bin Ghafil. Beliau merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad yang terawal memeluk agama Islam dan merupakan penulis wahyu yang memahami lebih mendalam mengenai al-Quran. Bacaan al-Quran yang dilagukannya juga sedap didengar.
Nabi Muhammad berkata: “Abdullah bin Mas‘ud pandai membaca al-Quran dengan baik. Bagi sesiapa yang mahu membaca al-Quran, bacalah sepertimana yang dibaca oleh Abdullah bin Mas‘ud.”
Abdullah juga merupakan sahabat Nabi Muhammad yang terkenal sebagai pentafsir al-Quran. Beliau juga mengetahui sebab-sebab sesuatu surah itu diturunkan dan tidak ketinggalan turut serta dalam semua siri peperangan bersama Nabi Muhammad demi menegakkan agama Islam.
Beliau juga merupakan seorang penyair yang baik. Suaranya sedap di dengar ketika bersyair selain menguasai bidang fekah dan hadis.
Abdullah adalah sahabat yang setia kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Kesetiaannya dapat dilihat semasa mengikuti semua siri peperangan bersama Nabi Muhammad.
Setiap kali tentera Islam berperang dengan tentera musuh, Abdullah di lantik oleh Nabi Muhammad menjadi pembantunya. Beliau sedia membantu Nabi Muhammad demi keselesaan baginda semasa peperangan. Antara khidmat yang diberikan oleh beliau kepada Nabi Muhammad ialah membawa kasut Nabi Muhammad apabila diminta.
Apabila Nabi Muhammad mahu berehat atau tidur, beliau bersedia memberikan bantal kepada Nabi Muhammad. Begitu juga apabila Nabi Muhammad mahu bersiap bagi bersembahyang, Abdullahbersedia menyediakan air bagi Nabi Muhammad berwuduk.
Kerelaan Abdullah memberi khidmat kepada Nabi Muhammad menyebabkan beliau digelar sebagai pengurus kasut, pengurus bantal dan pengurus wuduk.
Nabi Muhammad ada berkata: “Abdullah bin Mas‘ud adalah ketua yang saya lantik sendiri tanpa mendapat persetujuan daripada sesiapa.”
Begitulah Nabi Muhammad memandang tinggi Abdullah. Malah menurut Nabi Muhammad apa yang dilaporkan oleh Abdullah mengenai Nabi Muhammad adalah benar.
Nabi Muhammad ada berkata: “Apa yang disampaikan oleh Abdullah bin Mas‘ud mengenai diri saya, semuanya adalah benar-benar belaka. Kamu semua harus mempercayainya.”
Pernah suatu hari Abdullah dan ibunya pergi ke rumah Nabi Muhammad. Abdullah dan ibunya sering ke rumah Nabi Muhammad.
“Apa khabar Abdullah dan makcik, sihatkah?" tanya Nabi Muhammad yang pada ketika itu mahu menjamah makanan.
“Saya sihat. Cuma ibu saya baru sahaja baik dari demam,” balas Abdullah.
“Syukur kepada Allah kerana mengurniakan kami kesihatan yang baik,” kata Abdullah bin Mas‘ud lagi.
“Orang yang sentiasa bersyukur atas kesihatannya, ditambahkan lagi nikmat kesihatan,” kata Nabi Muhammad pula.
Semasa mereka rancak berbual-bual, tiba-tiba datang serombongan orang ke rumah Nabi Muhammad. Rombongan itu datang dari negeri Yaman. Mereka mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad. Pada masa itu Abdullah dan ibunya ada di rumah Nabi Muhammad.
“Assalamualaikum. Kami datang dari Yaman. Kami mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad,” kata salah seorang daripada ahli rombongan itu.
“Waalaikumsalam. Silakan masuk,” jawab Abdullah dan ibunya.
Pada ketika itu Nabi Muhammad berada di dapur rumahnya. Rombongan dari Yaman itu menyangka Abdullah dan ibunya adalah ahli keluarga Nabi Muhammad.
“Adakah kamu berdua ini ahli keluarga Nabi Muhammad?" Tanya ahli rombongan itu.
Tidak sempat Abdullah menjawab, Nabi Muhammad muncul di ruang tamu rumahnya itu.
Kemudian Nabi Muhammad berkata: “Masuklah. Tadi, saya dengar ada rombongan dari Yaman mahu berjumpa saya.”
Kedatangan rombongan itu disambut baik oleh Nabi Muhammad. Abdullah juga turut membantu Nabi Muhammad melayani tetamu yang datang itu.
Kesetiaan dan keakraban Abdullah dengan Nabi Muhammad secara tidak langsung terjalin hubungan yang rapat dan ikatan yang erat.
Menurut cerita, hanya Abdullah sahaja yang dibenarkan melawat Nabi Muhammad pada bila-bila masa.
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abdullah dilantik menjaga Baitulmal di Kufah.
Semasa pemerintahan Khalifah Usman, Abdullah kembali semula ke Madinah.
Akhirnya, beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Sejarah Yahudi di Madinah

SEJARAH memberikan kita fakta bahawa Nabi Muhammad SAW, satu-satunya pemimpin yang berjaya menyatupadukan masyarakat majmuk antara kaum Arab dan Yahudi di Madinah.
Namun tugas itu sebenarnya bukan satu kisah kejayaan yang dicipta dalam masa sehari atau sebulan tetapi sepanjang masa.
Baginda sentiasa berusaha untuk menyatupadukan kedua-dua kaum itu supaya dapat hidup bersama dalam sebuah negara dan ia sangat sukar untuk dilakukan kerana setiap kaum itu mempunyai pelbagai kerenah dan tabiat-tabiat yang sukar untuk dikikis demi untuk hidup bersatu.
Tetapi dalam ruangan kali ini, mungkin kita perlu mengetahui dengan lebih jelas mengenai sejarah kedatangan Yahudi ke Yathrib atau Madinah.
Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Mubarakfuri dalam buku Sirah Nabawiyyah yang menjadi rujukan utama untuk ruangan ini.
Mubarakfuri meletakkan kaum Yahudi Madinah sebagai kelompok kaum ketiga yang menetap di bandar itu.
Iaitu selepas kelompok bangsa Arab Muhajirin (penduduk Arab beragama Islam yang berhijrah dari Mekkah) dan kelompok bangsa Arab Ansar (penduduk Arab, penduduk asal Yathrib).
Pada asalnya orang Yahudi datang atau berhijrah ke Hijaz atau Semenanjung Arab semasa zaman penindasan oleh kerajaan Asyria dan Rom dahulu kala.
Pada hakikatnya mereka lebih tepat dikenali sebagai bangsa Ibrani dan setelah berada di Hijaz mereka mula melalui cara kehidupan seperti orang Arab dari aspek pakaian, bahasa dan peradaban.
Sehinggakan nama-nama kabilah dan individu mereka turut menggunakan bahasa Arab. Akhirnya mereka dapat menjalin hubungan perkahwinan dan persemendaan dengan bangsa Arab.
Akan tetapi mereka sangat berpegang dengan dengan keagungan sebagai bangsa Yahudi yang menyebabkan mereka tetap sombong dan bangga diri sebagai bangsa tersebut.
Iaitu fakta mengenai bangsa Yahudi yang tidak akan berubah yang sehingga hari ini menjadi identiti bangsa itu.
Justeru, mereka tidak menyerap ke dalam kehidupan seperti orang Arab secara total.
Ini kerana mereka menganggap bangsa Arab sebagai sangat lekeh sehingga mereka menggelarkan bangsa itu sebagai "masyarakat Ummi" yang bererti primitif dan sangat ketinggalan.
Malah lebih teruk lagi mereka turut menganggap bahawa harta benda orang Arab adalah harus untuk mereka. Atau lain perkataan boleh dirampas sesuka hati atau boleh mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.
Ini sebagaimana yang diakui sebagaimana yang tercatat dalam al Quran yang bermaksud: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (Al Imran ayat 75)."
Sebagaimana yang dipertahankan oleh Yahudi sehingga hari ini, bangsa Yahudi di Tanah Arab ketika itu juga tidak mempunyai kemahuan atau minat untuk menyebarkan agama yang menjadi pegangan dan kepercayaan mereka selama ini.
Al Mubarakfuri menyebutkan paling besar bekalan agama yang bangsa itu miliki hanyalah berkisar dalam konteks al-Fa'il (sempena baik), ilmu hitam atau sihir, meniup tali, jampi mentera dan seumpamanya.
Disebabkan itu mereka beranggapan dan mendabik dada bahawa merekalah, bangsa yang paling memiliki ilmu, kemuliaan, kepimpinan dan kerohanian yang tinggi.
Maka atas sebab itukah Yahudi sebagaimana hari ini adalah bangsa yang sangat mahir dalam soal pekerjaan dan kehidupan.
Tetapi sebagaimana sejak zaman sebelum kedatangan Islam itu lagi, bangsa Yahudi diakui sangat mahir dalam soal pekerjaan terutamanya perniagaan dan kehidupan mereka yang lain-lainnya.
Mereka menguasai perniagaan terutamanya bijirin, kurma, minuman arak dan tekstil atau pakaian.
Mereka sangat giat melakukan perniagaan dengan mampu mengimport masuk pakaian, biji-bijian dan arak selain mengeksport buah-buah kurma yang bermutu tinggi dari Yathrib.
Maka dalam dunia perniagaan bangsa Yahudi akan mengambil keuntungan daripada para peniaga dan pembeli terutama dari bangsa Arab secara berlipat kali ganda sebagai satu cara penindasan dari aspek ekonomi.
Bagi memburukkan lagi keadaan bangsa Yahudi mempelopori dan menjuarai perniagaan berasaskan riba.
Antara caranya, mereka memberikan kepada para pembesar-pembesar Arab dengan pinjaman wang dan harta benda supaya para ketua terutamanya ketua-ketua kabilah Arab tersebut mendapat sanjungan, penghormatan dan kemuliaan terutama di kalangan penyair dan mendapat nama baik di kalangan para pengikut.

Petikan dari : http://www.utusan.com.my/

Monday, September 13, 2010

Fikir Sejenak...

Pedomanku
"Berikan kasih sayang, nescaya kamu akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya akan diberikan keampunan" (Riwayat Imam Ahmad)

Madahku
"kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka. Kemaafan yang diberi secara ikhlas umpama pisau bedah yang boleh membuang segala parut luka emosi"

Peganganku
"Jika seseorang hadir dalam hidup kamu dan menjadi sebahagian daripada kamu, tetapi atas sebab tertentu dia terpaksa pergi, jangan terlalu sedih, terimalah kenyataan itu dan sekurang-kurangnya dia pernah membahagiakan kamu."

Kata-kata semangat
"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, DIA datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi"

Firman ALLAH SWT
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)." (Surah Al-Balad: 4)

Sejarah Solat 5 Waktu

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Sumber : darulnuman.com

Niat Dalam Solat Ketika Takbiratul Ihram

Sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, melafazkan niat sebelum memulakan sembahyang. Malah ada yang melafazkannya dengan kuat sehingga mengganggu jema’ah di sebelahnya. Ini bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW. Tidak ada nas sama sekali yang menunjukkan Rasulullah SAW melafazkan niat ketika memulakan sembahyang. Niat tidak dilafazkan. Dan tidaklah disebutkan dari Rasulullah SAW dan tidak pula ada petunjuk dari salah seorang sahabat bahwa niat itu dilafazkan. Niat bererti mensengajakan diri untuk sembahyang, menghambakan diri kepada Allah semata-mata, serta menguatkannya dalam hati. Rasulullah SAW bersabda: “Semua amal tergantung pada niatnya dan setiap orang akan mendapat (balasan) sesuai dengan niatnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain) (Rujuk kitab Al Irwa’, hadis no. 22). Abu Dawud bertanya kepada Imam Ahmad. Dia berkata, “Apakah orang sembahyang mengatakan sesuatu sebelum dia takbir?” Imam Ahmad menjawab, “Tidak.” (Rujuk kitab Masaail al Imam Ahmad hal 31 dan kitab Majmuu’ al Fataawaa XXII/28). As Suyuthi berkata, “Yang termasuk perbuatan bid’ah adalah was-was (selalu ragu) sewaktu berniat sembahyang. Hal itu tidak pernah diperbuat oleh Rasulullah SAW mahupun para shahabat beliau. Mereka dulu tidak pernah melafazkan niat sembahyang sedikitpun selain hanya lafaz takbir.” Malah Imam Syafi’i juga berkata, “Was-was dalam niat sembahyang dan dalam thaharah termasuk kebodohan terhadap syariat atau membingungkan akal.” (Rujuk kitab Al Amr bi al Itbaa’ wa al Nahy ‘an al Ibtidaa’). Maknanya, sesudah kita ambil wudhuk, kita mengadap ke arah kiblat. Lalu berniat dalam hati: “Sahaja aku sembahyang fardhu zohor empat raka’at tunai kerana Allah Taala.” (Sekadar contoh). Lalu kitapun bertakbir: Allahu Akbar. Tidak perlulah kita melafazkan “Usholli fardhu……………….” sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan kita kerana amalan melafazkan niat ini bertentangan dengan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ramai di kalangan kita, hanya tahu melafazkan niat tetapi tidak tahu pula makna yang dilafazkannya. Ada yang mengatakan bahwa niat itu adalah salah satu rukun dari rukun-rukun sembahyang maka hendaklah dimulai ketika mengangkat tangan takbiratul ihram sampai pada kata akbar, sebab rukun suatu amalan hendaklah berada di dalam amalannya.
Yang benar, niat adalah syarat semua amalan, bukan rukun dalam setiap amalan.

Contohnya ketika sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang rosak sembahyangnya: “Jika kamu bangkit hendak sembahyang, maka baguskanlah wudhukmu, kemudian mengadaplah ke arah kiblat lalu bertakbirlah, selanjutnya bacalah yang termudah bagimu dari Al-Qur’an.” (Hadis riwayat Imam Bukhari). Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahwa Rasulullah SAW memerintahkan untuk memulai sembahyang dengan perintah “bertakbirlah”, bukan dengan “melafazkan niat” , dan tidak juga “bertakbirlah dan sertakan niat dalam takbirmu” (Hal ini banyak dilakukan oleh masyarakat kita di Malaysia. Menyertakan niat ketika melafazkan takbir! Maka kerana itulah kita dapati ada orang yang takbiratul ihram berulang kali atas alasan niat tidak masuk sewaktu takbir). Na’uzubillah… Tidak ada suatu dalilpun daripada para sahabat yang mengatakan bahawa niat itu perlu dilafazkan. Ini kerana maksud kalimat “Jika kamu bangkit hendak sembahyang…” sudah menunjukkan suatu maksud keinginan untuk sembahyang. Itulah yang disebut niat.

Kalaulah memang niat adalah rukun sembahyang yang memerlukan lafaz khusus, nescaya Rasulullah SAW mengajarkannya kepada para sahabat. Seperti halnya bacaan tahyat. Ibnu Mas’ud RA berkata: “Rasulullah SAW mengajarku tahyat dan tanganku berada di antara kedua tangan beliau, sebagaimana beliau mengajarku Surah Al-Qur’an.” Sungguh sangat disayangkan adanya orang yang dihinggapi rasa was-was. Mereka terlihat seringkali dalam sembahyang mengulang-ulang takbiratul ihram, bahkan sampai imam telah rukuk pun ia belum selesai bertakbiratul ihram. Alasannya, kerana niat belum masuk ketika takbiratul ihram. Astaghfirullah……. Munculnya pendapat bahwa sembahyang wajib melafazkan niat dengan lisan adalah dari kesalahan fahaman Abdullah bin Az-Zubairy dalam mentafsir ucapan Imam As-Syafi’i: “Jika seseorang berniat haji atau umrah maka sudah cukup, walaupun tidak dilafazkan. Berbeza dengan sembahyang, tidak sah kecuali dengan ucapan.” Abdullah Az-Zubairy mengatakan bahwa Imam As-Syafi’i mewajibkan lafaz niat ketika mahu memulakan sembahyang”.

Imam An-Nawawi menuturkan: Para sahabat kami berkata: “Telah tersalah orang ini (Abdullah Az-Zubairy), bukanlah yang dimaksud Imam As-Syafi’i dengan ‘ucapan’ itu niat, tetapi yang dimaksudkan adalah takbir.”

Jadi, menisbatkan ‘Usholli’ kepada Imam As-Syafi’i itu tidaklah benar. Kalau memang ada ulama’ yang berpendapat seperti itu, maka seharusnya perkataan (sabda) dan amalan Rasulullah SAW wajib didahulukan, berbanding qaul para ulama’. Dan inilah dalil yang shahih, akan tetapi ramai di kalangan kita tidak memerhatikan dalil ini dengan akal yang terbuka. Kita jadi tahsub semberono tanpa berpandukan kepada nas dan dalil Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.