Sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita, melafazkan niat sebelum memulakan sembahyang. Malah ada yang melafazkannya dengan kuat sehingga mengganggu jema’ah di sebelahnya. Ini bertentangan dengan amalan Rasulullah SAW. Tidak ada nas sama sekali yang menunjukkan Rasulullah SAW melafazkan niat ketika memulakan sembahyang. Niat tidak dilafazkan. Dan tidaklah disebutkan dari Rasulullah SAW dan tidak pula ada petunjuk dari salah seorang sahabat bahwa niat itu dilafazkan. Niat bererti mensengajakan diri untuk sembahyang, menghambakan diri kepada Allah semata-mata, serta menguatkannya dalam hati. Rasulullah SAW bersabda: “Semua amal tergantung pada niatnya dan setiap orang akan mendapat (balasan) sesuai dengan niatnya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain) (Rujuk kitab Al Irwa’, hadis no. 22). Abu Dawud bertanya kepada Imam Ahmad. Dia berkata, “Apakah orang sembahyang mengatakan sesuatu sebelum dia takbir?” Imam Ahmad menjawab, “Tidak.” (Rujuk kitab Masaail al Imam Ahmad hal 31 dan kitab Majmuu’ al Fataawaa XXII/28). As Suyuthi berkata, “Yang termasuk perbuatan bid’ah adalah was-was (selalu ragu) sewaktu berniat sembahyang. Hal itu tidak pernah diperbuat oleh Rasulullah SAW mahupun para shahabat beliau. Mereka dulu tidak pernah melafazkan niat sembahyang sedikitpun selain hanya lafaz takbir.” Malah Imam Syafi’i juga berkata, “Was-was dalam niat sembahyang dan dalam thaharah termasuk kebodohan terhadap syariat atau membingungkan akal.” (Rujuk kitab Al Amr bi al Itbaa’ wa al Nahy ‘an al Ibtidaa’). Maknanya, sesudah kita ambil wudhuk, kita mengadap ke arah kiblat. Lalu berniat dalam hati: “Sahaja aku sembahyang fardhu zohor empat raka’at tunai kerana Allah Taala.” (Sekadar contoh). Lalu kitapun bertakbir: Allahu Akbar. Tidak perlulah kita melafazkan “Usholli fardhu……………….” sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan kita kerana amalan melafazkan niat ini bertentangan dengan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ramai di kalangan kita, hanya tahu melafazkan niat tetapi tidak tahu pula makna yang dilafazkannya. Ada yang mengatakan bahwa niat itu adalah salah satu rukun dari rukun-rukun sembahyang maka hendaklah dimulai ketika mengangkat tangan takbiratul ihram sampai pada kata akbar, sebab rukun suatu amalan hendaklah berada di dalam amalannya.
Yang benar, niat adalah syarat semua amalan, bukan rukun dalam setiap amalan.
Contohnya ketika sembahyang. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang rosak sembahyangnya: “Jika kamu bangkit hendak sembahyang, maka baguskanlah wudhukmu, kemudian mengadaplah ke arah kiblat lalu bertakbirlah, selanjutnya bacalah yang termudah bagimu dari Al-Qur’an.” (Hadis riwayat Imam Bukhari). Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahwa Rasulullah SAW memerintahkan untuk memulai sembahyang dengan perintah “bertakbirlah”, bukan dengan “melafazkan niat” , dan tidak juga “bertakbirlah dan sertakan niat dalam takbirmu” (Hal ini banyak dilakukan oleh masyarakat kita di Malaysia. Menyertakan niat ketika melafazkan takbir! Maka kerana itulah kita dapati ada orang yang takbiratul ihram berulang kali atas alasan niat tidak masuk sewaktu takbir). Na’uzubillah… Tidak ada suatu dalilpun daripada para sahabat yang mengatakan bahawa niat itu perlu dilafazkan. Ini kerana maksud kalimat “Jika kamu bangkit hendak sembahyang…” sudah menunjukkan suatu maksud keinginan untuk sembahyang. Itulah yang disebut niat.
Kalaulah memang niat adalah rukun sembahyang yang memerlukan lafaz khusus, nescaya Rasulullah SAW mengajarkannya kepada para sahabat. Seperti halnya bacaan tahyat. Ibnu Mas’ud RA berkata: “Rasulullah SAW mengajarku tahyat dan tanganku berada di antara kedua tangan beliau, sebagaimana beliau mengajarku Surah Al-Qur’an.” Sungguh sangat disayangkan adanya orang yang dihinggapi rasa was-was. Mereka terlihat seringkali dalam sembahyang mengulang-ulang takbiratul ihram, bahkan sampai imam telah rukuk pun ia belum selesai bertakbiratul ihram. Alasannya, kerana niat belum masuk ketika takbiratul ihram. Astaghfirullah……. Munculnya pendapat bahwa sembahyang wajib melafazkan niat dengan lisan adalah dari kesalahan fahaman Abdullah bin Az-Zubairy dalam mentafsir ucapan Imam As-Syafi’i: “Jika seseorang berniat haji atau umrah maka sudah cukup, walaupun tidak dilafazkan. Berbeza dengan sembahyang, tidak sah kecuali dengan ucapan.” Abdullah Az-Zubairy mengatakan bahwa Imam As-Syafi’i mewajibkan lafaz niat ketika mahu memulakan sembahyang”.
Imam An-Nawawi menuturkan: Para sahabat kami berkata: “Telah tersalah orang ini (Abdullah Az-Zubairy), bukanlah yang dimaksud Imam As-Syafi’i dengan ‘ucapan’ itu niat, tetapi yang dimaksudkan adalah takbir.”
Jadi, menisbatkan ‘Usholli’ kepada Imam As-Syafi’i itu tidaklah benar. Kalau memang ada ulama’ yang berpendapat seperti itu, maka seharusnya perkataan (sabda) dan amalan Rasulullah SAW wajib didahulukan, berbanding qaul para ulama’. Dan inilah dalil yang shahih, akan tetapi ramai di kalangan kita tidak memerhatikan dalil ini dengan akal yang terbuka. Kita jadi tahsub semberono tanpa berpandukan kepada nas dan dalil Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment