NABI Ibrahim telah meyakini dengan sepenuh hati akan kekuasaan dan penciptaan Allah SWT. Kepercayaannya tidak berbelah bahagi malah berjanji akan menghapuskan perbuatan syirik dan penyembahan berhala yang dilakukan oleh penduduk Mesir.
Baginda juga selalu memohon kepada Allah agar dirinya dikuatkan iman dan ditambahkan keyakinan di samping menghilangkan keraguan yang ada kalanya wujud dalam dirinya. Kadangkala baginda tertanya-tanya, bagaimanakah Allah SWT menghidup dan mematikan makhluk di dunia ini.
Suatu hari, baginda telah bermunajat kepada Allah agar ditunjukkan bagaimana Allah menghidupkan kembali makhluk setelah dimatikan. Allah SWT telah menjawab permintaan Nabi Ibrahim itu.
"Tidakkah engkau beriman dan percaya kepada kekuasaan-Ku?"
Setelah mendengar jawapan daripada Allah SWT itu, Nabi Ibrahim pun menjawab: "Betul, wahai Tuhanku, aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu. Tetapi aku ingin sekali melihatnya dengan mataku sendiri. Semoga ianya akan mendatangkan ketenteraman dan ketenangan dalam hatiku. Biarlah ia makin bertambah tebal dan mendalam keyakinanku kepada-Mu serta kekuasaan-Mu."
Permintaan Nabi Ibrahim itu telah diperkenankan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim menangkap empat ekor burung. Burung-burung itu hendaklah dipotong menjadi kepingan-kepingan yang kecil dan dicampurkan semuanya. Selepas itu bahagikan pula kepada empat bahagian. Setiap bahagian perlulah diletakkan di atas puncak bukit yang berasingan dan jauh jaraknya antara satu sama lain.
Setelah selesai mengerjakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT, Nabi Ibrahim pun memanggil semula burung-burung berkenaan. Dengan izin dan kekuasaan-Nya, semua kepingan burung yang telah dipotong itu berterbangan di udara mencari bahagian badan masing-masing. Walaupun jarak antara satu longgok dengan longgok yang lain jauh, namun ia tetap bertemu dengan bahagian masing-masing. Setelah semuanya selesai, keempat-empat ekor burung itu pun datang kepada Nabi Ibrahim sebagaimana asalnya. Tiada terlebih dan terkurang satu bahagian pun. Setelah Nabi Ibrahim melihat segala kejadian tadi dengan matanya sendiri, maka bertambahlah keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT. Allah SWT menghidupkan dan mematikan makhluk-Nya dengan sendiri tanpa ada bantuan daripada sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang menyuruh dan tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalang kekuasaan Allah itu.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
No comments:
Post a Comment