Monday, February 10, 2014

Cara Mendidik Anak Mengikut Rasulullah s.a.w

Dalam hidup serba moden ini, dapat kita dengar pelbagai cara digunakan bagi mendidik anak agar menjadi seorang yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sebagai orang Islam, saya percaya cara yang diajarkan oleh Nabi SAW sebenarnya yang terbaik untuk kita amalkan. Mari kita tengok.

1) Umur anak-anak sejak lahir hingga enam tahun 

Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas dan tidak membeza-bezakan. 

Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Pada peringkat umur ini, mereka tidak boleh dirotan sekiranya melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik. 

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita adalah sebahagian daripada masa membesar mereka. Apabila perkara ini berjaya disemaikan, mereka akan merasa kepentingan kita di dalam diri masing-masing sehingga meningkat dewasa. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil kerana mereka tahu yang anda (ibu bapa) selalu ada di sisi mereka setiap masa. 


2) Umur anak tujuh hingga 14 tahun 

Pada tahap ini ibu bapa disuruh untuk mula menanamkan nilai disiplin dan rasa tanggungjawab kepada anak-anak. Pada peringkat umur tujuh tahun ini juga ibu bapa hendaklah mula melatih anak- anak untuk bersolat seperti dalam hadis Abu Daud; 

“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” 

Pukul itu pula bukanlah bertujuan untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menimbulkan sedikit rasa gerun dalam diri mereka. Ia juga bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah. 

Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam. 

Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibu bapa sama ada ingin menjadikan mereka seorang Muslim, Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. 


3) Umur anak 15 hingga 21 tahun 

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Ia juga terkenal sebagai fasa ‘ingin mencuba.’ Pada tahap ini, sebaiknya ibu bapa mendekati anak-anak dengan berkawan serta bersahabat dengan mereka. 

Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka mengenai perkara yang dihadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ dan perasaan ketika itu. 

Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain, tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka. 

Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah mencari keseronokan memandangkan semua kebahagiaan dan keseronokan ada di rumah bersama keluarga. 


4) Umur anak 21 tahun dan ke atas 

Fasa ini adalah masa ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak melalui kebebasan dalam membuat keputusan sendiri. Ibu bapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. 

Insya-Allah, dengan segala disiplin yang diasah sejak tahap kedua sebelum ini, cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibu bapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkah laku yang baik seperti yang ibu bapa inginkan.

2 comments:

  1. terima kasih kerana berkongsi ilmu. Tanpa kita sedar adakalanya kita mendidik anak-anak mengikut acuan ibubapa mendidik kita dahulu bukannya mengikut cara Rasuluallah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya betul. Itulah yang terjadi kini. Namun, kita yang tersedar ni ayuh kita ubah dan jadi ibu bapa contoh dengan merujuk cara Rasulluh s.a.w. Marilah kita sebarkan kepada rakan-rakan moga kita pun mendapat ganjaran usaha kita ini. Amin.

      Delete