Sunday, May 20, 2012

25 Pesanan Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya

Pesanan #1: “Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”

Pesanan #2: “Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”

Pesanan #3: “Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”

Pesanan #4: “Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”

Pesanan #5: “Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”

Pesanan #6: “Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”

Pesanan #7: “Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”

Pesanan #8: Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

Pesanan #9: Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

Pesanan #10: Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

Pesanan #11: Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

Pesanan #12: Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

Pesanan #13: Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

Pesanan #14: Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

Pesanan #15: Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

Pesanan #16: Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

Pesanan #17: Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

Pesanan #18: Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

Pesanan #19: Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

Pesanan #20: Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

Pesanan #21: Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

Pesanan #22: Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

Pesanan #23: Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

Pesanan #24: Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

Pesanan #25: Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Thursday, May 17, 2012

Kata Kata Yang Membuat Kita Sebak

Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat.
Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu.
Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang.
Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum selesai.
Bila hati kita terguris, kita kata "Mak memang tak pernah faham".
Bila hati kita terhiris, kita kata "Ayah memang tak ambil kisah".

Tetapi

Bila hati mak kita terguris, mak kata "Tak apa, dia masih muda".
Bila hati ayah kita terhiris, ayah kata "Tak apa, belum sampai akalnya".
Bila kita menagis tanda lapar, mak berlari bagai hilang kaki.
Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena.
Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal.
Bila kita pilu kerana kecewa, ayah teguh berkata dia tetap bangga.

Fikir-fikirlah

Bagai pusingan roda, sampai masanya kita pula akan menjadi ibu atau bapa dan anak2 kita akan melakukan apa yang pernah kita lakukan terhadap ibu dan bapa kita.... dan kita akan bersabar dengan kerenah mereka sebagaimana ibubapa kita pernah lakukan kepada kita dan begitulah seterusnya.... Sayangilah ibubapa kita, InsyaAllah kita akan disayangi oleh anak2 kita pulak.

Tuesday, May 15, 2012

Pandai Tidak Semestinya Bijaksana

Sifat bijaksana amat jarang diberi perhatian dalam sahsiah tumbesaran anak-anak. Ramai ibu bapa yang tidak tahu bagaimana hendak mendidik sifat bijaksana pada anak. Perbezaan yang amat ketara antara sifat bijak dan pandai boleh dilihat pada anak-anak daripada cara dan tindakan yang diambil apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan.

Ibubapa sentiasa mahukan anak-anak mereka pandai. Pandai dalam pelajaran menjadi hasrat utama mereka. Anak-anak yang kurang pandai akan sentiasa menimbulkan kemarahan pada ibubapa. Kepandaian anak-anak diukur dari segi pencapaian dalam peperiksaan. Anak-anak yang mampu meraih pangkat A dan lulus dengan cemerlang dianggap buah hati ibubapa. Mereka akan sentiasa dipuji dan menjadi buah cerita kepada rakan-rakan dan saudara mara. Pelbagai cara ibubapa lakukan seperti menghantar tuisyen, belikan buku latihan, belikan software belajar dan macam-macam lagi, asal boleh pandai. Pendek kata, anak yang pandai ini menjadi kebanggaan ibubapa mereka.

Masa terus berlalu, anak-anak ini membesar menjadi insan kebanggaan dan seterusnya memperolehi ijazah sarjana. Anak-anak ini akan dijadikan ikon kepada adik-adiknya atau generasi yang lebih muda. Ramai yang ingin mencontohi kepandaian anak ini. Semua ibubapa menjadikannya contoh atau perbandingan kepada anak yang lain. Kehidupan anak ini diteruskan. Setelah memperolehi ijazah sarjana, anak tersebut memulakan era pekerjaan. Pelbagai jawatan dipohon dan akhirnya diterima sebagai seorang pekerja kelas atasan sesuai dengan kepandaian yang dimiliki.

Keluarga bertambah bangga. Setelah beberapa lama menjawat jawatan tersebut anak itu mula menyedari bahawa majikan yang menggajikannya itu rupa-rupanya tidak memiliki sebarang ijazah. Ini menunjukkan bahawa beliau lebih pandai daripada majikannya. Tetapi mengapa beliau terpaksa akur dan bekerja dibawah arahan orang yang memiliki kepandaian yang lebih rendah daripadanya atau dalam ertikata lain orang yang tidak setaraf dengannya. Persoalan demi persoalan timbul dalam kotak fikiran anak tersebut. Sedikit demi sedikit beliau faham bahawa untuk berjaya dalam kehidupan yang realiti seseorang itu sebenarnya memerlukan kebijaksanaan bukan hanya sekadar kepandaian.

Orang yang pandai tidak semestinya bijak. Bijaksana adalah hasil daripada didikan yang betul oleh ibubapa kepada anak-anak. Anak-anak tidak hanya didedahkan dengan ilmu pelajaran tetapi juga didedahkan dengan ilmu yang dikenali sebagai ‘common sense’. Mereka yang mampu berfikir diluar kotak biasanya memiliki ‘common sense’ yang tinggi. Anak-anak yang pandai tidak semestinya memiliki ‘common sense’. Inilah antara punca utama mengapa mereka gagal dalam kehidupan.

Dalam mendidik anak-anak, ibubapa seharusnya memupukkan rasa tanggungjawab, prihatin, beri kepercayaan kepada mereka, tegur yang mana salah, terapkan nilai-nilai murni, pupuk rasa hormat pada orang tidak kira tua atau muda. Ajarkan mereka erti kasih sayang, kecintaan, percaya pada diri, semangat juang yang tinggi. Menghargai kehidupan, cinta pada alam serta pegangan agama yang utuh. Nilai-nilai yang terbina daripada didikan ini sebenarnya mampu membentuk insan yang bijaksana. Walaubagaimana pun ibubapa tersebut mestilah terlebih dahulu memiliki sifat yang disebutkan di atas.

Sifat bijaksana ini terdapat pada junjungan besar kita Rasullullah s.a.w. Baginda tidaklah pandai (cuma buta huruf) tetapi amat bijaksana dalam mengatasi setiap permasalahan. Anak yang dididik dengan kebijaksanaan bakal menerajui kehidupan dengan lebih cemerlang berbanding dengan anak-anak yang pandai. Biasanya insan bijaksana akan mengetuai atau mengepalai sesuatu organisasi. Mereka adalah ‘problem solver’. Mereka adalah tempat orang lain meminta pandangan atau nasihat. Mereka tahu bagaimana hendak ‘lead the world’. Mereka diperlukan dalam segala bidang dan sudut. Merekalah insan hebat yang bakal dinobatkan sebagai Insanul Kamil.

Sayangnya ibubapa hari ini kurang peka terhadap didikan yang diberi. Kebanyakan ibubapa hanya menyerahkan tugas mendidik kepada guru atau rumah asuhan yang dibayar setiap bulan. Malahan lebih buruk lagi semua didikan diserahkan kepada bibik untuk diambil alih. Ibubapa terlalu sibuk mencari duit hingga terlalai dalam memberi didikan sempurna kepada anak-anak. Hasilnya ramai anak-anak hari ini hanya cemerlang dalam pelajaran tetapi ketinggalan dalam menerajui kehidupan. Berapa ramai graduan hari ini merupakan pengganggur terhormat. Berapa ramai graduan hari ini setelah memperolehi segulung ijazzah masih menanti dan menunggu bantuan kerajaan. Berapa ramai graduan hari ini yang masih tercari-cari bidang yang sesuai untuk mereka bekerja.

Padahal negara kita Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu makmur. Hasil buminya begitu banyak. Peluang pekerjaan terbuka luas. Namun dimanakah anak-anak yang pandai itu tadi pergi. Mengapa tidak dikutip hasil bumi yang ada. Mengapa tidak diisi kekosongan jawatan yang tersedia. Otak mereka buntu memikirkannya. Mereka tidak nampak peluang yang tersedia didepan mata. Mereka begitu takut untuk mengambil risiko. Mereka menjadi kurang bijak dalam membuat keputusan. Perasaan yang bercampur baur menutup segala peluang dan potensi diri. Anak-anak tersebut menjadi keliru.

Anak-anak yang bijaksana mencipta peluang mereka sendiri. Mereka menggunakan kreativiti yang ada untuk menjana pendapatan. Semangat mereka terus membara untuk mencapai impian. Usaha-usaha mereka sentiasa membuahkan hasil yang memberansangkan. Akhirnya anak-anak ini menjadi peneraju kepada industri yang mereka bina sendiri. Manakala anak-anak yang pandai hanya memenuhi kekosongan jawatan dalam industri.

Sebagai ibubapa yang mempunyai kesedaran, didiklah anak-anak anda menjadi insan yang bijaksana bukan hanya pandai dalam pelajaran tetapi bijak meguruskan kehidupan. tahu kekuatan dan kenal kelemahan. Mampu merubah dunia menjadi destinasi kehidupan yang hakiki. Menjadi tempat persinggahan yang indah dan wangi sebelum menjelajah ke alam persemadian yang abadi. Anak-anak yang bijaksana ini bakal menjadi umat yang disegani ideanya, dihormati pekertinya, disanjungi akhlaknya. Ibubapa yang memiliki anak-anak ini mampu bersandar dan tersenyum puas sambil memanjatkan kesyukuran kepada Illahi atas kurniaan yang hebat ini.

Artikel ini ditulis oleh Puan Hajjah Arina Abbas. Beliau merupakan Moderator Evolusi Minda, iaitu badan yang menjalankan latihan dan memberi kursus serta seminar berkaitan kuasa minda. Kunjungi laman web evolusiminda.

Mengapa Yahudi Bijak?

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel,
setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya
perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu
dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik
bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering
membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau
tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik,
tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau,
adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, "Ya, ini untuk anak saya yang
masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi
genius apabila dewasa kelak". Perkara ini membuat saya tertarik untuk
mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi,
tanpa merasa jemu beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau
melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal
mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu ,
dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala
bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut
beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan
mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan
penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang
orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu
ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara
pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama
perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet)
dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut
mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang
adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum
memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi
anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan
hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan
menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran
disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi,
jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar
dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di
Universiti Israel , siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama
pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan
perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( ***** atau lembab). Suatu
penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA.
Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok
terbesar adalah …… tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, pemakanan anak-anak
cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti
dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya,
kanak-kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa
iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih
bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain
musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan
sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.

Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman
untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum
Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar matematik
berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di
dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California,
ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun
kebelakang! Segala
pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak-anak Yahudi. Selain dari
pelajaran, sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi
keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari. Menurut teman saya ini,
memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping
mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah). Disini
murid-murid ditekankan dengan matapelajaran sains dan mereka digalakkan
mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatan lucu dan
mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata,
perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di
Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh
terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya tentang perniagaan.
Diakhir tahun di universiti, para penuntut dibidang perniagaan dikehendaki
melakukan projek dan memperaktikkannya dan anda hanya akan lulus jika
kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak
US$1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia
dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah
mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design
Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan
fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu
caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat
mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijen dikepala. Banyak ugama lain
di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau
menggoyangkan kepala. Ini dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah
aktif. Lihat orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan
ianya sebagai adat. Ramai orang-orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai
kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan?
Fikirkanlah!

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan
bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Diambil dari : Dr. Stephen Carr Leon

50 Perkara Ransang Anak Jadi Bijak Pandai

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN
Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

4-JELIRKAN LIDAH
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, ‘bacalah’ buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN
Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. “Tengok anak kucing tu.” atau “Besarkan pokok ni!” atau “Dengar tak bunyi bomba tu?” – untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri (“mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin….”) . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles… Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.
12-PERGI MEMBELI-BELAH

Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI
Jika anda berkata, “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK
Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda – tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza – termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA
Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26-BUAT MUKA LAWAK
Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA
Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me’label’ barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG
Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.
29-BAYANGAN WAJAH
Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi “yang lagi satu” senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira – dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN
Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.
32-JADILAH TAMAN PERMAINAN
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA
Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA
Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak (“adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?”) sehinggalah ke soalan konkrit (“Pernah tak adik nampak kucing putih?”)

35-TUTUP TV
Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN
Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA
Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA
Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN
Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU- SENDA
Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan “Ini Ibu.” Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN
Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA
Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA
Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46-PERGI KE PERPUSTAKAAN
Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET
Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.
48-MAIN BERULANG-ULANG
Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49-MAIN “TIRU-MENIRU”
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN
Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Selamat mencuba!
https://1khalifah.wordpress.com/tag/50-cara-ransang-anak-jadi-bijak-pandai/

Wednesday, May 2, 2012

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W.

Kutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.
Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMU.