Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi
merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik
klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau
kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi
dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini
adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara
baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur
malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg
disyorkan ini pasti membuahkan hasil.
1-BERTENTANG MATA
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak
matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah
yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina
memorinya.
2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di
wajahnya, cuba
berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi.
Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang
kosong yang anda biarkan senyap tadi.
3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN
Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya
adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya.
Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi
sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.
4-JELIRKAN LIDAH
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru
pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal
usia.
5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya
untuk dialbumkan. Kemudian, ‘bacalah’ buku itu bersama-sama sambil menamakan
haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.
6-GELETEKLAH BAYI ANDA
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam
perkembangan humour bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat
perigi’ dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.
7-TUNJUKKAN PERBEZAAN
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi
anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit
perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang
masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari
perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan
pembacaan apabila dia besar kelak.
8-BERKONGSI PANDANGAN
Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke
badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. “Tengok anak
kucing tu.” atau “Besarkan pokok ni!” atau “Dengar tak bunyi bomba tu?” – untuk
membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda
sendiri (“mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin….”) . Mainkan lagu
Beethoven atau Beatles… Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma
muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.
10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau
pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.
11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain
tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada
pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.
12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.
13-BERI KATA KUNCI
Jika anda berkata, “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, anda
sedang mengajar sebab dan akibat.
14-BERI KEJUTAN
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya
perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.
15-SEDIAKAN BANYAK TISU
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen,
anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan
mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.
16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat
belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali
berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.
17-MAIN CAK-CAK
Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar
bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.
18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai
bersama bayi anda – tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya
biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.
19-MAIN DENGAN WARNA
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu
anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak
memilih warna untuk anda pula mencarinya.
20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang
berbeza – termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging
dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.
21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang
tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya.
Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa
keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan
biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.
22-BIAR DIA MEMBEBEL
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.
23-LATIHAN MENEKA
Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah
salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.
24-BINA LALUAN HALANGAN
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau
permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan
tersebut.
25-IKUT RENTAKNYA
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk
melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat
bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK
Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja,
poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat
bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga
ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.
27-RASA SEKELILING ANDA
Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya
pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me’label’
barangan tersebut.
28-CERITAKAN KISAH DONGENG
Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak
supaya dia seronok.
29-BAYANGAN WAJAH
Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka
yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya
bila bayi “yang lagi satu” senyum dan melambai padanya.
30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu
daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya.
Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira – dan boleh berlatih menghafal
nama warna.
31-GOYANGKAN BADAN
Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau
berpusing seperti ballerina.
32-JADILAH TAMAN PERMAINAN
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di
atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih
menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan
masalahnya.
33-KIRA SEMUANYA
Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak
tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat
dan pasti dia akan mengikut anda.
34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA
Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis
soalan daripada soalan abstrak (“adik rasa kenapa Pekan nak makan telur
tembakul ibunya?”) sehinggalah ke soalan konkrit (“Pernah tak adik nampak
kucing putih?”)
35-TUTUP TV
Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak
dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu
mengajarnya.
36-TUKAR PEMANDANGAN
Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat
mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali
waktu makan.
37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA
Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi
anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun ada satu set
kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak
anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh
mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya)
.
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA
Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main
dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk
mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.
39-MAIN HUJAN
Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya.
Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar
tentang basah dan kering.
40-MENANGKAP SERANGGA
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik,
rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk
mencarinya.
41-BERGURAU- SENDA
Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan “Ini Ibu.” Kemudian akui kebodohan
anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri humour dalam
dirinya.
42-MAIN DENGAN PAKAIAN
Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali
topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan
kreativiti dan imaginasinya membawa anda.
43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak
anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga
setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana
lebih kecil.
44-HASILKAN ALBUM KELUARGA
Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk
membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek
sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA
Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut
warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN
Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau
tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak
menjemukan.
47-CONTOHI CARA SESAME STREET
Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula
dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di
halaman luar rumah dengan kapur.
48-MAIN BERULANG-ULANG
Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum
dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya
itu.
49-MAIN “TIRU-MENIRU”
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda.
Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.
50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN
Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira
atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia
memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus
dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.
Selamat mencuba!
https://1khalifah.wordpress.com/tag/50-cara-ransang-anak-jadi-bijak-pandai/
No comments:
Post a Comment