Sunday, September 9, 2012

Penyelamat Seksaan Kubur

:: Surah  al-Mulk. :: 

Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:
Sesungguhnya ada satu surah dalam al-Quran yang mengandungi tiga puluh ayat. Ia dapat memberikan syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan untuknya. Itulah surah Tabarakallazi biyadihi al-Mulk.

(Riwayat Imam Ahmad)

Daripada Ibn Abbas r.a katanya:
Sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w memasang khemahnya di atas sebuah kubur tanpa menyedari tempat itu adalah kubur. Tiba-tiba didapati ia adalah kubur seorang manusia yang sedang membaca surah al-Mulk sehingga habis. Lalu sahabat itu datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah, saya telah memasang khemah di atas sebuah kubur, tanpa menyedari ia adalah kubur. Tiba-tiba (terdengar suara) seorang yang sedang membaca surah al-Mulk iaitu: Tabarak sehingga dikhatamkannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia (surah tabarak) adalah penghalang, ia adalah penyelamat yang menyelamatkannya daripada azab kubur.

(Riwayat al-Tirmidzi)

Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah s.a.w tidak tidur melainkan setelah baginda membaca alif lam mim tanzil (surah al-Sajdah) dan surah tabarakallazi biyadihi al-Mulk (surah al-Mulk).

(Riwayat al-Tirmidzi)

Al-Laith melaporkan daripada Tawus yang mengatakan bahawa kedua-dua surah ini melebihi surah-surah lain dalam al-Quran dengan tujuh puluh kebajikan. Al-Tabarani meriwayatkan sebuah hadith bersumber daripada Ibn Abbas, katanya: Maksudnya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka jika ia berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku, yakni surah tabarakallazi biyadihi al-mulk.

(Riwayat al-Tabarani)

Hadith di atas turut diriwayatkan oleh Abd bin Humaid dalam Musnadnya dengan lebih panjang lebar iaitu: Daripada Ibn Abbas, beliau berkata kepada seorang lelaki: 
Mahukah aku hadiahkan kamu dengan sebuah hadith yang akan menggembirakan kamu? Lelaki itu menjawab: Bahkan. Katanya: Bacalah surah Tabarakallazi biyadihi al-mulk, dan ajarkanlah kepada keluargamu serta semua anak pinakmu, kanak-kanak di dalam rumahmu, serta jiran tetanggamu. Kerana surah ini adalah penyelamat dan juru bicara yang akan berhujah bagi pihak pembacanya pada hari kiamat di sisi Tuhannya. Ia (surah ini) akan meminta kepada Allah supaya menyelamatkan pembacanya daripada azab neraka, dan menyelamatkannya daripada azab kubur. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka surah ini berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku.

Seterusnya daripada anas Ibnu Malik berkata: 
Nabi SAW telah bersabda:”Sesungguhnya seorang lelaki yang sebelum kamu telah meninggal dan tidak ada bersamanya daripada kitab Allah kecuali “tabaarakal-Lazi”. Maka apabila di masukkan ke dalam lubang kubur, datanglah kepadanya malaikat. Maka surah itu telah menahan wajahnya dan malaikat berkata pada surah itu. Sesungguhnya kamu adalah kitab Allah dan saya tidak mahu menyusahkan kamu, sesungguhnya saya tidak boleh memberi kepada kamu dan kepada dia, dan kepada saya kemudharatan atau kemanfaatan.

Sesungguhnya jika kamu hendak memberi manfaat kepada si mati, jadi pergilah menemui Allah SWT. Dan mintaklah syafaat daripadaNya. maka dia (surah al Mulk) pun menemui Allah. “Wahai Tuhanku, si fulan ini(si mati), dia pilih saya dalam kitabmu dan da pelajari saya dan dia membaca saya, bolehkah wahai Allah, Engkau membakarnya dan menyeksanya, walhal saya di dalam dadanya? Maka jika Engkau ingin berbuat demikian,jadi padamlah saya dari kitabmu. Dan Allah berfirman: “Aku nampak kamu marah.” Dia menjawab (surah) : “Sesungguhnya saya marah.” Allah SWT berfirman: “Pergilah sesungguhnya Aku memberi Dia kepada kamu dan kamu menjadi syafaat ke atasnya.”

Nabi SAW bersabda: “Surah itu akan datang kepada malaikat dan memaksanya keluar tanpa melakukan apa-apa kepada si mati. Maka surah itu datang dan meletakkan mulutnya kepada mulut si mati dan mengucapkan selamat datang kepada mulut yang sentiasa membaca saya dan selamat datang kepada dada yang sentiada menghafal dan menjaga saya. Dan selamat datang kepada dua kaki yang sentiasa berdiri dan membaca saya. Maka surah itu bersama si mati dalam kuburnya supaya si mati tidak merasa kesunyian.”

Semoga beroleh manfaat. Amalkanlah surah ini, hafalkan dan sematkan di dalam hati, kerana inilah surah yang banyak membawa hikmat dan keberkatan terutamanya semasa kita di alam barzakh.

No comments:

Post a Comment