Wednesday, April 23, 2014

Kisah Haiwan dan Tumbuh Berzikir Pada Allah SWT

Semua makhluk baik haiwan dan tumbuh-tumbuhan sentiasa bertasbih kepada Allah SWT tanpa henti. Semua makhluk Allah berzikir dan bertasbih (subhanallah) mengingatiNya.
Al-Israa [44] Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Semut dan katak juga berzikir kepada Allah. Dari Ibn Abbas bahawa nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.
Kisah Nabi Daud
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya; (Saba:10) 
Nabi Daud diberikan suara yang hebat oleh Allah s.w.t. apabila baginda berzikir bergemalah suaranya yang diikuti oleh gunung-ganang. Satu ketika baginda merasa ujub (hebat) dengan banyaknya jenis zikir yang mampu dilafazkannya. Lalu Allah s.w.t. mengutuskan malaikat Jibril yang memberitahunya “Allah menyuruh kamu mendengar katak berzikir”. Tercengang Nabi Daud setelah mendengar perkataan zikir katak itu, lalu baginda menyesal dan merasakan bahawa zikir katak itu lebih hebat daripada zikirnya.
Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Sayyidina Anas daripada Sayyidina Malik sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda “ Sesungguhnya Nabi Daud A.S telah menyangka pada dirinya sendiri bahawa tidak ada seorang pun dari mahluk Allah yang bertasbih melebihi tasbihnya, Maka Allah menurunkan seorang malaikat di mihraba Nabi Daud a.s. kemudian Malaikat itu berkata “ Wahai Daud fahamilah apa yang disuarakan oleh katak, dengarkanlah suaranya sesungguhnya katak tersebut mengucapkan YA MUSABBIHA BI KULLI LISANIN WA YA MADZKURA BI KULLI MAKANIN SUBHANAKA WA BI HAMDIKA SUBHANAL MALIKIL QUDDUS WA MUNTAHA ILMUKA ( Wahai zat yang disucikan oleh tiap-tiap lisan wahai zat yang diucapkan di tiap-tiap tempat maha suci engkau ya Allah, maha suci dengan segala pujimu ya Allah, Maha suci Allah yang maha memiliki segenap kesucian dan ilmu engkau ya Allah yang tiada akhirnya).
Zikir katak jugalah yang membesarkan bumi ini dengan izin Allah s.w.t. Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi ini daripada air yang dibekukan di atas air hingga terbentuklah tanah, kemudian dia menciptakan katak. Lalu katak ini berzikir sehingga permukaan bumi yang kecil ini dibesarkan oleh Allah.
Dalam hadis turut disebut bahawa binatang yang tidak bertasbih memuji Allah akan menjadi buruan manusia, manakala pokok yang tidak bertasbih akan menjadi kering.
Wallahu a’lam.
Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud a.s. sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu.

Lalu Nabi Daud a.s. berkata pada dirinya, “Apa yang dikehendaki Allah s.w.t. dengan ulat ini?” Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah s.w.t. pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud a.s. “Wahai Nabi Allah! Allah s.w.t. telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca ‘Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar‘ setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah s.w.t.mengilhamkan kepadaku supaya membaca ‘Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim‘ setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud a.s. “Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?” Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah s.w.t. maka Nabi Daud a.s. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Begitulah sikap para Nabi a.s.apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.
Marilah kita sama-sama memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan malu dengan makhluk Allah SWT lain sebab kita ni walau diberi serba lengkap masih leka dan lalai kepadaNya tapi makluk lain seperti tumbuhan dan haiwan malah batu tak putus berzikir kepadaNya. Walaupun kita tidak mendengar sebutan zikir oleh makhluk lain, bukan bermakna kita boleh menidakkan amalan berzikir ini. Moga kita mendapat rahmat dan hidayah dari ucapan zikir kita. Amin!

1 comment: